JANUARI 2023

Dato’ Sri Fadillah Yusof Lawat MPB Cawangan Sibu


SIBU: Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi (KPK) Dato’ Sri Fadillah Yusof memulakan siri lawatan kerja rasminya di Sarawak ke Lembaga Lada Malaysia (MPB) cawangan Sibu pada Jumaat.

Lawatan tersebut setara dengan misi merapatkan hubungan di antara Sarawak, Sabah dan Semenanjung.

Dato’ Sri Fadillah diiringi kakitangan MPB meninjau pengoperasian premis dan keadaan fasiliti sambil mengambil maklum mengenai aktiviti yang dijalankan dalam menjamin kredibiliti dan keselamatan penghasilan produk lada.

Antara aktivitinya adalah perkhidmatan kawalan kualiti dan penggredan, aktiviti pemprosesan lada termasuk melaksanakan program pembangunan penanaman lada dengan mengagihkan input pertanian, perkakasan ladang dan bantuan infrastruktur ladang.

Dalam masa sama, beliau turut mendengar taklimat yang disampaikan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) MPB Jenny George dan Timbalan Ketua Pegarah (Pembangunan) MPB Vincent Sawat.

Untuk rekod, MPB Sibu menyelia aktiviti industri lada yang meliputi kawasan Sibu, Mukah dan Kapit.

Jumlah kawasan penanaman lada di bahagian Sibu adalah seluas 494.83 hektar dengan jumlah pekebun kecil lada seramai 3,402 orang pekebun.-Edisi UKAS

Sumber dari : UKAS